Monday, August 24, 2015

Bibik Oh Bibik ~ Sudah mahu pulang?

Bibik Oh Bibik ~ Sudah mahu pulang?

Alhamdulillah sudah masuk 7 tahun ALLAH izinkan Neng Lilik Kholifah mengasuh anak syurga kami yang ber 4 ni. Bukan takat mengasuh je Neng Lilik memang rajin serba serbi. Mengemas, memasak, melipat baju, menyusun perabot, mencuci bilik air, mengemop pendek kata semua kerja-kerja urusan rumah semua tahap tip top. Semua tu Neng buat tanpa disuruh. Cekap sangat!!! Bukan ahli keluarga je suka, jiran-jiran pun puji :) Sebagai majikan kita bersyukur tentu sekali sebab dapat bibik yang macam tu. Ramai yang tanya, ambil mana? Saya rasa jawapan paling tepat adalah ALLAH SWT yang hantar :) Terima kasih ALLAH atas bantuan pembantu rumah yang tidak memeningkan kepala setakat ini. Nak tau rahsianya? Meh kita imbau-imbau kembali detik awal boleh terhasilnya cerita 7 tahun ni :)

Neng Luluk. Lilik ke Luluk?

Haaa usah keliru. Neng saya memang namanya Lilik. Namun Neng Luluk ni adalah Neng belakang rumah mertua saya yang sudah berkhidmat mengasuh 10 tahun. Jadi memang dah akrab sangat dengan ibu mertuaku :) Teman borak, teman kongsi resepi dan sebagainya hehehe. Ditakdirkan saya menantu sulong dan peramah pula ha ha maka automatik saya pun rapat dengan Neng Luluk ni. Pendekkan cerita saya mengandung kerap berturut tahun antara anak sulong saya dengan anak ke 2. Disebabkan jauh nun di Ipoh, maka kami pun sepakat minta tolong Neng Luluk carikan kenalan yang sudi jadi pembantu juga. Maka jika anda semua tanya saya prosedur yang jelas, sebenarnya saya pun kurang pasti. Waktu itu saya hanya ikut saja flow dan takdir yang sudah tersurat :) 

Prosedur pengambilan sendiri Pembatu Rumah Indonesia tanpa melalui Agen

1. Neng Luluk balik bercuti pulang sementara ke Indonesia sambil tolong uruskan urusan di negara sana

2. Uruskan medical checkup, Visa kerja & Kursus Pembantu? Ni semua perlu dilakukan disana 

3. Emel ke kami Visa Kerja, result medical checkup untuk urusan permohonan bawa masuk dengan Imigeresen Malaysia

4. Lulus dapat kebenaran, pembantu rumah tiba Malaysia, majikan berdaftar dalam surat Imigeresen wajib hadir ke Lapangan Terbang untuk urusan pengambilan

5. Dalam tempoh sebulan harus cop pasport dan Visa kerja di Imigeresen berhampiran iaitu Imigeresen Ipoh. 

6. Harus check up lagi sekali di klinik panel Fomema dan result xray yang lulus harus serah ke Imigeresen. Maka barulah boleh berkhidmat sebagai pembantu rumah di Malaysia. 

7. Renew kontrak kerja setiap 2 tahun & renew pasport bila perlu di kedutaan Indonesia di KL. Renew permit kerja setiap tahun di Imigeresen berhampiran.

*****Ini sekadar panduan. Saya pun mungkin sudah lupa prosedur sebenar sebab sudah 7 tahun perkara tersebut berlalu. Anda dinasihatkan untuk semak maklumat dan prosedur terkini dengan pihak Imigeresen Malaysia dan Kedutaan Indonesia di sini :) Saya tidak akan bertanggungjawab atas salah maklumat. Silalah bertanya lanjut dengan pihak berkenaan sebagaimana yang sudah saya lakukan 7 tahun dulu.

Dulu dan Kini

Cerita hari pertama

Ingat lagi hari pertama Neng Lilik tiba di rumah mertua di SG, dia tidak bertudung, agak canggung, matanya sembap tidak pasti keletihan dalam kapal terbang dan melepasi tapisan Imigeresen dari malam sampai ke pagi, atau masih dalam kerinduan meninggalkan keluarga di Indonesia. Rupanya sudah berkahwin dan ada anak seorang. Perempuan umurnya tua setahun dari anak sulong saya yang waktu itu baru 2 tahun 1 bulan. Kasihan sangat waktu itu terpaksa meninggalkan keluarga atas tuntutan mencari rezeki. Bersyukurlah warga Malaysia yang masih mewah punca pekerjaan dan pendapatan yang tidak perlu melalui perkara ini. Fikirkan nasib anak cucu cicit kita kelak semoga ALLAH SWT terus memelihara umat Muslim di bumi bertuah ini. 

Balik ke Ipoh, malam pertama Neng Lilik tidak dapat lena; masih dalam proses menyesuaikan diri barangkali. Jam 4 pagi dia sudah bangun mengemop lantai rumah seluruhnya. Lucu bila bangun subuh, dia cerita sambil ketawa, bila jiran-jiran prihatin semua pakat buka lampu tolong mengintai mana tau ada pencuri masuk ke apa tengah-tengah pagi sudah berbunyi dapur kami. Mungkin jiran fikir sediakan sahur kot hehehe. 

Cerita bab masak dan makanan

Dulu Neng tak pandai masak. Saya tidak pernah menyuruh dia memasak makan tengah hari atau makan malam, saya tidak ingat bagaiman detik itu bermula namun setiap kali pulang dari kerja pasti sudah siap menu makan malam untuk keluarga. Jadi waktu itu saya membiarkan saja, kena pula saya dan suami bukan jenis suka komplen sangat. Asal boleh makan sudah. Atas dasar menghargai hasil titik peluhnya menyediakan makan tersebut, kami jamah juga waktu tu ambil hati. Namun kami suami isteri asyik berbalas senyuman sebab ternyata resepinya memang pelik sebab bukan resepi Malaysia. 

Yang bagus sangat adalah Neng Lilik seorang yang suka belajar dan berani cuba. Kami perasan lama kelamaan hasil masakan Neng semakin sedap dari hari ke hari. Katanya belajar dari Ummi ibu mertua saya, belajar dari resepi. Saya ni memang minat beli majalah. Dari sisipan resepi tu dia rajin cuba dan cuba.

Memasak lauk pauk bukanlah kepakaran saya. Saya memang mengaku itu. Lagipun sentiasa ada kupu-kupu dalam perut saya jika mahu mula memasak, sehinggalah tersedia siap hidangan tersebut. Saya tak selesa sangat jika ada tetamu lihat saya memasak. Kepakaran saya hanya spagheti dan desert. Saya lebih suka menu 1 off sekali masak macam laksa, mee rebus, nasi tomato, nasi ayam... berbanding menu lauk pauk setiap hari. Kalau diikutkan bukanlah perlu hidangan canggih setiap hari, cukup sekadar sayur tumis campur dan telur dadar saja sudah bisa membuka selera keluarga. Namun entahlah, semakin hari semakin hilang skill memasak saya hurm... Sungguh rugi kan. 

Dan skills memasak Neng Lilik semakin hebat dari hari ke hari. Bakat jika diasah bertahun-tahun tentulah hebat. Maka lama kelamaan rutin memasak dah jadi rutin penting untuk Neng. Bila ada rumah terbuka raya ke memang lah Neng jadi Chef utama. Resepi pula tentu lah nak yang lain dari Malaysia yang biasa. Soto dan Bakso haaaa... kompom saya kena ambil tugas mengasuh anak sementara Neng jadi hero di dapur. 

Rutin tersebut memakan diri saya sebagai ibu, bilamana waktu Neng pulang bercuti ke Indonesia untuk tempoh yang agak lama sebulan atau 2 minggu, anak-anak jadi mogok ke apa ntah, mungkin rindu dengan Neng mereka, maka automatik mereka jadi tidak lalu makan dan monyok sepanjang hari. Kanak-kanak belum tadika mereka tidak tahu lagi untuk mengeksperesikan perasaan mereka. Maka waktu itu saya selalu berdoa moga Neng diizinkan ALLAH SWT untuk terus berkhidmat agak lama dengan kami sehingga anak-anak sudah faham sewaktu tiba waktu kepulangan sebenar nanti.

Cerita bab rezeki berjalan

Sebagaimana rezeki kami sekeluarga Alhamdulillah dapat rezeki pergi berjalan famili trip merata-rata; maka begitulah juga rezeki Neng Lilik. Sebab kami memang jenis bawa saja kemana hala yang kami tuju. Konsep nya mudah. Kerja neng = mengasuh. Maka dimana ada anak asuhannya tu, disitulah neng harus ada. 

Setakat ni Alhamdulillah inilah tempat yang sudah Neng Lilik merasa sampai dengan kami :

1. Bukit Tinggi, Indonesia
2. Acheh, Indonesia
3. Universal Studio Singapore
4. Jordan
5. Umrah Mekah & Madinah
6. Pulau Langkawi

Begitulah cerita Neng yang sudah dianggap macam sebahagian dari keluarga. Lepas ni agaknya kemana lah rezeki kami ye :)

Pro & kontra mempunyai Pembantu Rumah Indonesia.

Cerita selain cerita baik? Cerita buruk? Tipulah jika saya kata aman saja hidup kami sepanjang 7 tahun ini. Bila sudah duduk sebumbung, pasti ada saja saat yang mencabar kewarasan berfikir dan kesabaran sebagai manusia biasa. Saya pun bukan maksum macam Nabi apatah lagi baik macam malaikat. Namun Alhamdulillah segalanya dapat diatur dan ditolak ansur. Pasti ada juga saat yang Neng tidak boleh masuk sekepala dengan saya. Namun ada juga rakan sekerja yang sangka saya ni majikan yang baik, sebab jika tidak masakan Neng mampu bertahan hingga 7 tahun sudah? Banyak kes yang bibik lari dari rumah hanya dalam tempoh seminggu, sebulan, setahun malah 1 malam saja pun ada. Begitulah realiti kehidupan. Sebab itu saya bersykur Alhamdulliah banyak faktor yang buat Neng mampu bertahan lama. Jom kita check :

1. Niat pembantu rumah itu sendiri yang datang memang dengan niat mencari rezeki yang halal Lillahi Taala. Ini sangat penting. Jika no 1 ini sudah lurus, insyaAllah yang lain jadi lebih mudah. Jika no 1 ini kerana nak cuba merasa kerja Malaysia, melancong Malaysia, cari jodoh.... dan banyak lagi, maka kompom aktiviti seterusnya juga hancur. 

2. Faktor majikan iaitu suami yang jenis tidak ganggu pembantu rumah. Saya rasa ini juga faktor yang utama para isteri dan ibu harus timbang dan nilaikan. Lain individu lain ragam nya. Jika suami anda jenis peramah dengan semua orang dan memang liar mata maka mungkin mempunyai pembantu rumah bukanlah pilihan sesuai untuk anda jika tidak mahu pening kepala di kemudian hari eloklah dielakkan. 

3. Faktor majikan perempuan iaitu isteri kepada majikan. Ini juga penting. Perlu banyak sabar, mana yang mampu sabar harus sabar, mana yang mampu tegur, tegur dengan jelas maksud. Kebiasaan yang jadi konflik bila pembantu rumah tidak faham apa sebenarnya arahan atau kehendak majikan, bila tidak boleh disampaikan dengan jelas, pasti pihak yang menerima juga kurang jelas. Maka perlu ada skil komunikasi aras tinggi ha ha ha sebab apa? Sebab lain budaya. Tentu saja pembantu anda itu orang Indonesia. Sedangkan anda orang Perak pun tidak faham budaya Orang Jawa Negeri Perak, macam tu juga pembantu anda yang baru nak faham Orang Bangsa Melayu dan budaya Malaysia keseluruhan nya. Maka disitulah kepentingan tolak ansur memainkan peranan :)

4. Sokongan keluarga mertua. Jawarian bertemu dengan Orang asal Kepulauan Jawa tentu mudah kamceng kan ;)

5. Sikap. Akhlak. Adab. Dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung? betul ke peribahasa ni? Begitulah juga kita harus sentiasa pandai membawa diri.

6. Soal hati. Pada saya ini soal paling subjektif, paling sukar dan paling berat dalam bab pembantu rumah ini. Saya kongsikan juga sebagai panduan. Maafkan saya jika saya salah bab ini. Sebagai manusia biasa saya juga masih ada rasa cemburu, bilamana pembantu saya muda 1 tahun dari saya, bila hari raya jenis suka berfesyen juga, Alhamdulillah dia sudah bertudung dan menjaga aurat. Dalam rumah dengan selain mahram juga jaga aurat. Tapi bila dia mampu pakai kasut tinggi berbanding saya yang selesa berselipar dan simple, tentu saja itu sukar buat saya. Bilamana semakin hari pembantu rumah saya semakin kamceng dan rapat dengan ibu mertua saya, saya ni kan anak yatim piatu, emak saya meninggal sejak saya usia 5 tahun, tentu saya cemburu bila ibu mertua lebih selesa berborak dan berkongsi resepi dengan pembantu saya. Bila biras yang lain juga lebih rapat dengan pembantu rumah selain saya. Bila jiran saya lebih rapat dengan pembantu rumah berbanding saya. Saya juga manusia yang punya perasaan dan hati yang harus dijaga. Jadi? Bagaimana boleh bertahan hingga 7 tahun sudah? Soal hati saya serah kembali kepada pemilik hati. Ada hari saya terasa, saya muncung, saya suram, saya senyap. Waktu itu memang pembantu saya tidak berani nak sapa saya, hatta duduk sebelah sekali pun, lalu berpapasan juga dielakkannya. Dia akan duduk di biliknya di tingkat atas, dan saya selesa di ruang tamu saja. Namun kebiasaannya konflik antara kami jarang berlaku di Ipoh rumah kediaman kami, hari bekerja masing-masing sibuk buat hal masing-masing. Waktu malam sesekali anak yang sudah masuk sekolah rendah ada kerja sekolah dan sebagainya. Pembantu saya lebih selesa duduk di tingkat atas siapkan menggosok baju dan melipat. Bila hari cuti balik rumah mertua dan sebagainya barulah rasa kurang selesa itu selalu mengintai mencari ruang untuk syaitan berbisik dan menanam sangka buruk dan remuk redam di jiwa saya. Ada hari saya berjaya buang rasa kurang selesa itu, maka tarik muka jugalah saya. Itu saja perkara terbaik saya mampu lakukan lebih baik dari saya menghamburkan rasa signal negatif tersebut kan :)

Jadi bagi mereka yang masih menimbang tara samada mahu mengambil pembantu rumah Indonesia atau tidak, itulah sedikit sebanyak panduan yang saya kira perlu ditimbang baik buruk sedalam nya. 

KESIMPULAN CERITA BAIK

Apapun secara kesimpulannya, saya sentiasa bersyukur ALLAH SWT meminjamkan saya khidmat pembantu rumah selama anak saya masih kecil dari usia bayi, sampai saat saya alah sewaktu mengandung anak ke 3 dan ke 4, sampai saat saya sakit kontraksi mahu melahirkan, sampai saat mengasuh anak dari kecil 2 tapak jari hingga besar panjang sekolah rendah, semua hasil asuhan Neng Lilik yang tidak dapat saya sangkal. 

Dia memang ada jiwa pengasuh yang sangat baik. Bukan saja anak saya dia asuh, anak adik beradik dan anak sedara semua dia bantu. Sebab itu semua orang suka dengan dia. 

Jika ditakdirkan dia mahu pulang, saya tekad tidak mahu ambil pembantu rumah baru kerana hanya dia yang faham anak-anak saya dari kecil hingga besar. Saya takut jika pembantu baru dera anak saya yang sudah semakin lasak di alam permainan mereka. Yang tidak baik nya hanya saya sukar melepaskan pembantu rumah pulang sehingga anak bongsu saya masuk sekolah tadika dan mula meningaalkan alam kepengasuhan. Adakah istilah tu? 

Apapun saya tetap harus merelakan juga kerana dia juga punya suami, anak,keluarga dan kehidupan di Indonesia. Saya tidak mahu mengambil sikap pentingkan diri sendiri walaupun saya rasa masih amat memerlukan khidmat pembantu rumah terutama saat cuti persekolahan, saya jadi kasihan apabila saya harus bekerja waktu anak-anak bercuti dirumah. Semoga ALLAH SWT merezekikan saya jalan keluar kepada pekerjaan saya sekarang semoga saya sentiasa dapat bekerja dari rumah sambil mendidik anak-anak syurga saya. Sebab itu saya cuba buat usahakan bisnes MLM Shaklee secara bersungguh-sungguh moga ada rezeki income 4 ke 5 angka macam kebanyakan upline saya yang sudah berjaya buktikan. Ehhh sempat lagi kan nak selit :)

Semoga bertemu lagi di entry yang akan datang. Yang baik ambil panduan, yang buruk pm saya privately untuk dibetulkan dan disimpan di tempat yang lebih selayaknya. :)


Rosez
25 Ogos 2015
Sudah jam 4.15 pagi

Esk masih perlu jadi Supermak menghantar anak ke sekolah. Moga ALLAH bangunkan saya tepat waktu azan subuh. Amin :)








No comments: